Home / Artiste of The Month / Artis Bulan Januari – KHALIFAH

Artis Bulan Januari – KHALIFAH

khalifah 1 KHALIFAH TAMPIL DENGAN ALBUM CERITA KITA

Kejayaan lagu Hang Pi Mana ciptaan Harry dan lirik Yabang telah membuktikan kemampuan kumpulan Khalifah di dalam persada seni muzik tanahair. Bahkan lagu dalam loghat utara ini berjaya menjadi fenomena dikalangan peminat sehinggakan menjadi siulan tidak kira peringkat umur. Biarpun pernah dilabelkan sebagai kumpulan kampung oleh segelintir pihak kerana mempopularkan lagu-lagu genre begini, ia bukan menjadi kudis buat Khalifah kerana yang penting peminat menyukai lagu mereka. Untuk pembelian CD fizikal, peminat-peminat akan mendapat bonus track esklusif (dalam CD sahaja) iaitu ucapan-ucapan istimewa dari ahli kumpalan Khalifah.

Lagu Hang Pi Mana, berkonsep ‘easy listening’ dan mesra pendengar serta mempunyai mesej yang mendalam dan mudah diterima peminat. Kali ini Khalifah berjaya ‘pukul habis’ artis lain apabila Hang Pi Mana menguasai ‘rating’ di kebanyakan stesen radio. Tidak sia-sia usaha Khalifah menyepi selama setahun selepas album keempat kerana mencari lagu yang terbaik untuk disajikan kepada peminat. Bahkan lagu Hang Pi Mana juga diparodikan dalam versi raya dengan tajuk Hang Pi Raya dan mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Selepas Hang Pi Mana, tibalah masanya buat peminat untuk menikmati keseluruhan lagu yang dimuatkan dalam album kelima Khalifah berjudul Cerita Kita. Masih dibawah label MVM Production, album terbitan Harry dan Yabang ini memuatkan lagu-lagu menarik untuk santapan halwa telinga pendengar iaitu Hang Pi Mana, Kerbau Di Payung, Jika, Puteri, Shalalala, Tiada Esok, Satu Kalimah, Panji Hitam (menampilkan Kumpulan Asal Usul),  Sebutir Bintang dan Assalammualaikum Ustazah. Meneliti judul albumnya, dapat dibuat kesimpulan Khalifah adalah sebuah kumpulan yang unik dan mempunyai jati diri tersendiri.

Khalifah mempunyai konsep muzik tersendiri yang membezakan mereka dengan kumpulan lain. Mereka selesa menampilkan lagu ciptaan sendiri namun tetap membuka peluang kepada komposer baru untuk mempelbagaikan cita rasa pendengar. Komposisi lagu yang ditampilkan dalam album ini juga pelbagai merangkumi citrasa golongan ‘urban’ dan peminat di luar bandar. Menariknya susunan muzik dalam setiap lagu dibuat sepenuhnya oleh Harry dan Yabang. Membanggakan kerana Khalifah boleh dikatakan satu-satunya kumpulan yang menghasilkan album penuh berbanding kumpulan lain. Keyakinan mereka tinggi bahawa lagu-lagu rock masih belum lapuk dan masih segar dihati peminat muzik. Paling penting, pengisian lagunya perlu betul agar ia memenuhi citarasa semua golongan dan lapisan masyarakat. Ibaratnya album ini boleh dinikmati seisi keluarga kerana menampilkan pelbagai jenis muzik dan melodi. Tidak terkecuali, apa yang dipaparkan bukan hiburan semata-mata kerana liriknya juga mempunyai suntikan dakwah dan ketuhanan. Sesuatu yang istimewa juga, Khalifah tidak ketinggalan menyanyikan lagu ciptaan Yon Gondrong dari Indonesia. Yon adalah seorang pemuzik jalanan terkenal Indonesia yang digelar ‘One Man Band’. Lagu ini ditujukan khas kepada semua pemuzik busker di seluruh tanahair dan negara Asean.

LATAR BELAKANG KHALIFAH (2006-2016)

 Bermula dengan perselisihan faham bersama anggota lain dalam Jinbara, Yabang dan Harry (pemain gitar utama) yang juga pencipta lagu ‘Kasihnya Laila’ akhirnya mengambil keputusan mengundur diri dan menubuhkan Khalifah pada 2006. Mereka turut disertai oleh Moyang (gitar bass) dan Tony (Dram).

Yabang diakui mempunyai suara yang mantap dan unik serta berkebolehan berqasidah dengan baik. Harry berupaya mengenalpasti kebolehan Yabang dan mencipta lagu-lagu berkonsep begini seperti diperlihatkan menerusi lagu Kasihnya laila, Siapa Laila dan Kita kawan. Gandingan mereka membawa arah tersendiri dalam Khalifah apabila kumpulan ini tampil berbeza daripada kumpulan lain kerana boleh membawa pelbagai rentak lagu.

Mereka menghasilkan album pertama berjudul Kelahiran bersama Life Records pada 2007 yang menampilkan lagu popular ‘Siapa Laila’ dan ‘Khalifah’. Tahun berikutnya (2008),  Khalifah muncul pula dengan album Cintaku Dewi Kamala. Kali ini mereka memilih bernaung di bawah label MVM Home atau lebih sinonim dikenali sebagai Music Valley. Khalifah membuktikan mereka sebagai kumpulan yang aktif apabila menghasilkan album ketiga berjudul Ni Hao Ma pada 2009 juga bersama MVM Home. Lagu berjudul Cikgu Ayu dan Lagu Untuk Adinda yang dimuatkan ternyata berjaya menarik perhatian peminat.

Pada 2013, Khalifah tampil dengan album keempat berjudul Cinta Dan Sayang. Lagu ‘Cinta Dan Sayang’ ditampilkan sebagai single dan diterima baik oleh semua pendengar peringkat umur. Lagu ini juga mendapat tempat di hati pengguna Maxis apabila dipilih sebagai ‘Artist of the month”.  Hakikatnya lagu-lagu Khalifah ternyata sukar mendapat tempat di stesen radio Era dan Hot FM. Bagaimanapun Khalifah mendapat kerjasama baik daripada stesen milik RTM yang banyak mempopularkan lagu Lagu Untuk Adinda, Cikgu Ayu, Satu Hikayat Cinta dan Ni Hao Ma. Tidak terkecuali Suria FM dan THR banyak membuka peluang persembahan buat mereka dan mereka membuktikannya apabila menampilkan persembahan yang mantap. Kebolehan sebenar Khalifah diperlihatkan sehingga peminat kagum.

Senarai lagu yang terdapat dalam album terbaru Khalifah “Cerita Kita”:
1. Hang Pi Mana
2. Kerbau Di Payung
3. Jika
4. Puteri
5. Shalalala
6. Tiada Esok
7. Satu Kalimah
8. Panji Hitam
9. Sebutir Bintang
10. Assalammualaikum Ustazah

MORE INFO:
Website: www.mvmproduction.com
Facebook: www.facebook.com/mvmproduction
Twitter: twitter.com/mvmproduction
Instagram : instagram.com/mvm_production


Khalifah – Hang Pi Mana (Official Music Video HD)

Khalifah – Assalamualaikum Ustazah (Official Music Video)