Home / Events / Hikayat Benladin-Single Launching

Hikayat Benladin-Single Launching

1000x400

Bekas bintang Idola Kecil musim ke-5, Muhammad Benladin Bin Munshi Shaihan atau lebih mesra dengan panggilan Benladin kini muncul dengan buah tangan terbaharu bagi mengubati kerinduan para peminatnya setelah hampir lima tahun.

Berjudul “Hikayat Benladin”, artis remaja ini tidak gentar untuk kembali memeriahkan industri seni tanah air walau bakal berdepan dengan peperiksaan besar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akhir tahun ini.

“Hikayat Benladin” merupakan lagu dan lirik hasil gabungan komposer terkenal Dedeq dan Malique yang ditulis khas untuk Benladin sendiri. Dengan rasa kesyukuran yang teramat sangat Benladin berkata, “Saya teruja diberi kepercayaan menyanyikan lagu hasil air tangan Malique Ibrahim. Ramai yang ingin bekerjasama dengan beliau dan saya salah seorangnya. Banyak perkara yang saya belajar sepanjang kolaborasi dan pembelajaran itu akan saya gunakan sebaiknya. Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak Sony Music Malaysia di atas peluang ini. Saya akan berusaha keras untuk memastikan peluang ini tidak sia-sia” ketika ditemui pada ‘Majlis Pelancaran Single & Video Lirik Hikayat Benladin’ di Red Box Karaoke, The Gardens.

Kali terakhir muncul dengan single duet bersama Datin Alyah pada 2013, Benladin menyifatkan single kali ini sebagai hadiah di atas kesabaran peminat menantikan kemunculannya selepas penantian hampir lima tahun. Keterujaan Benladin terbukti apabila proses rakaman “Hikayat Benladin” mengambil masa hanya 3 hari sahaja.

Ternyata peluang yang diberikan oleh komposer tersohor yang bersetuju untuk menghasilkan lagu dalam menjayakan misi comeback Benladin kali ini tidak disia-siakan.  Single “Hikayat Benladin” masih mengekalkan genre beliau sebelum ini. Bila ditanya, Benladin masih belum terfikir lagi untuk bertukar ke genre yang lain tapi tidak menolak kemungkinan jika suatu hari nanti beliau perlu menyanyikan lagu dalam genre berbeza.

Walaupun masih belajar, Benladin tidak mempunyai sebarang masalah untuk membahagikan masa di antara pelajaran dan kerjaya seninya. Semua jadual telah diatur dengan baik. Beliau turut menegaskan bahawa keluarga menjadi tonggak utama di sebalik kejayaannya serta sokongan peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya.