Home / Events / MAJLIS PELANCARAN SINGLE TERBARU LIRIK VIDEO & KARAOKE “SULIT” AMAN AZIZ

MAJLIS PELANCARAN SINGLE TERBARU LIRIK VIDEO & KARAOKE “SULIT” AMAN AZIZ

1000x400

“Lagu baru, Imej baru”. Begitulah transformasi dilakukan Naib Juara Akademi Fantasia Musim ke-11 (AF2014), Mohammad Razman Abdul Aziz, 24, sempena meraikan kemunculan single terbarunya berjudul “SULIT” yang dilancarkan pada 28 Ogos 2017, 2 petang di Red Box Karaoke, The Gardens.

Serentak dengan pelancaran single ketiganya itu, LMA House Talent Sdn Bhd selaku label rakaman yang dinaungi Aman turut mempertontonkan Video Lyrics lagu berkenaan, sementara Red Box secara ekslusif melancarkan video karaoke “SULIT”.

Tampil dengan solekan penuh berkarakter pop art sebagai imej terbarunya, perubahan dilakukan Aman ini sebagai satu kelainan dalam mempromosikan single ketiganya itu.

“Perubahan dari segi penampilan yang agak drastik ini di mana saya hadir dengan imej bersolek bukan sekadar mencari kelainan tetapi juga membuktikan keseriusan saya dalam bidang muzik iaitu satu bidang yang kreatif menurut saya.

“Saya merasakan kalau punya suara yang bagus dan lagu yang baik, belum tentu menjamin untuk seseorang penyanyi itu dikenali. Seorang artis perlu lebih berani, berupaya menjadi individu yang unik dan tampil “statement” di khalayak ramai supaya diingati. Menjadi ‘Trendsetter’ dalam berkarya dan penampilan itu antara resipi kejayaan ramai artis-artis ternama.

“Saya mengambil contoh Lady Gaga yang sering tampil dengan imej yang sedikit menggila dan ada kalanya tidak masuk akal, namun dia diingati kerana keberanian dan keunikannya. Bersama imej sebegitu, jenama Lady Gaga diperkasakan lagi dengan seleksi lagu-lagu hit yang diterima pendengar seluruh dunia.

“Apa yang saya perkatakan ini bukan mahu menjadi “The Next Gaga”. Sebaliknya sedakar mengambil inspirasi daripada keberanian serta keunikannya,” kata Aman.

Ingin dikenali sebagai penyanyi berkarakter apabila beraksi di atas pentas, transformasi yang dilakukan ini bersesuaian dengan peralihan muziknya.

Aman gembira kerana dapat bekerjasama dengan SULIT Creative Team yang bertanggungjawab dalam melakukan transformasi imej keatas dirinya.

SULIT Creative Team diketuai Yanie Baharom selaku Produser dan Pengarah Projek, Pengkritik Fesyen yang tidak asing lagi, Haswari Ali aka Mr. Stailista selaku Stylist; jurugambar terkenal, Nizarhafiz Mustafa dan Jurusolek Selebriti, Fiqqi Abdullah.

Manakala Azim Wahab dan Syed Naufal bertanggungjawab untuk sinematografi Video Lyrics “SULIT”.

Terdahulu pemuda berasal dari Klebang, Melaka yang menggunakan nama pentas Aman Aziz, pernah muncul bersama dua single iaitu Without You diikuti Layang Layang.

“Jurang muzik di antara single pertama dan kedua dengan ketiga ini agak jauh berbeza. Kalau dulu single pertama dan kedua bernuansakan irama easy listening, untuk single terbaru ini, saya beralih kepada irama progresif sebagai percubaan baru sekaligus mempamerkan kematangan dalam nyanyian.

“Seiring peralihan muzik yang dilakukan, saya merasakan perlu untuk saya mengubah penampilan,” katanya.

SULIT adalah sebuah lagu ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Fedtri Yahya. Di dalam lirik lagu ini perkataan ‘sulit’ langsung tidak disebut.

Penggunaan “SULIT” sebagai judul lebih kepada metafora dimana kesukaran seseorang untuk “move on” dari cintanya.

“Walaupun dia tahu adalah mustahil untuk bersama dan perpisahan itu lebih baik, namun cinta tetap besar buat mantan kekasih. Kadang kerana cinta seseorang lebih rela disakiti daripada hilang seseorang yang membahagiakan mereka. Begitulah tafsiran saya mengenai lagu ini,” kata Aman.

Sementara itu, Wan Firdaus Wan Ibrahim selaku Pengurus Pembangunan Perniagaan LMA House Talent Sdn Bhd, amat yakin “SULIT” akan menjadi lagu siulan ramai kerana ia sebuah lagu yang baik dan mesra pendengar.

“Single “SULIT” ini adalah pilihan Aman sendiri. Sebagai pihak pengurusan dan label, kami menyokong dan percaya dengan kemampuan Aman. Malah yakin nama Aman akan menyinar sekaligus meniti di bibir peminat bersama-sama tuah lagu ciptaan Asfan Shah ini.

“Pendirian Aman untuk melakukan transformasi imej meskipun tindakan ini dilihat membuka ruang mudah kepada netizen untuk mensensasikan hal ini, namun saya memuji keberaniannya kerana dia tahu apa yang diinginkan dan melihat dengan jelas hala tuju muziknya.

“Transformasi imejnya itu disambut baik oleh pihak kami. Ini kerana sebagai label rakaman baru, kami sukakan idea-idea yang segar supaya dapat memberi persaingan sihat kepada industri hiburan.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Red Box kerana sudi menjadi penaja lokasi pelancaran hari ini tanpa mengukur status Aman sebagai penyanyi baru,” katanya.

Menurut Wan Firdaus lagi, Aman Aziz adalah artis pertama yang mengikat kontrak sebagai artis rakaman LMA Talent House iaitu sebuah syarikat yang menjalankan operasi perniagaan iaitu label rakaman, pengurusan artis dan agensi.

Selain Aman, artis berpontensi lain yang turut mengikat kontrak dibawah pengurusan syarikat itu adalah Sabhi Saddi, Nonny Nadirah, Shiha Zikir, Amal AF dab pelakon meningkat naik Hannah Delisha.