Home / Events / MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DAN PENYERAHAN CEK “RAIKAN RAYA” ANJURAN RED BOX KARAOKE BERSAMA #iAMFAITHMEN MOVEMENT & AWANG BRAND

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DAN PENYERAHAN CEK “RAIKAN RAYA” ANJURAN RED BOX KARAOKE BERSAMA #iAMFAITHMEN MOVEMENT & AWANG BRAND

1000x400-copy

Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sememangnya bukan perkara baru bagi pusat karaoke Red Box & Green Box yang terkenal dengan konsep hiburan berteraskan keluarga. Bermula dengan penubuhan Red Energy Charity Fund pada 2009, Red Box dan Green Box sehingga kini kekal aktif dalam program kebajikan, sosial dan kemasyarakatan untuk sebarang usaha meningkatkan dana dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Justeru, Red Box hari ini dalam acara Rumah Terbuka telah menganjurkan “Majlis Penyerahan Derma” berupa cek kepada pihak #iAMFAITHMEN sebagai penutup kepada program amal “Raikan Raya – Hantar Kad Ucapan Untuk Yang Tersayang Sambil Menderma” yang dijayakan bersama Awang Brand sejak 15 Mei yang lalu.

En. Michael Yong, Ketua Pegawai Operasi, Kumpulan Karaoke Red Box berkata, “Ia merupakan program kedua kami bersama #iAMFAITHMEN. Jika tahun lepas, kami memberi tumpuan kepada kanak-kanak, fokus tahun ini lebih kepada membantu institusi warga emas. Dengan kerjasama Faizal Tahir dan penaja utama Awang Brand, tahun ini, Red Box Karaoke sekali lagi, berjaya mengumpul sebanyak RM15,252.00 untuk diserahkan kepada #iAMFAITHMEN”.

Menurut beliau sebanyak 5,084 poskad “Raikan Raya – Hantar Kad Ucapan Untuk Yang Tersayang Sambil Menderma” telah terjual di semua rangkaian Red Box, Green Box dan Red Box PLUS Karaoke sehingga 24 Jun yang lalu. Menariknya, visual atau gambar setiap poskad adalah hasil idea dan kreativiti Faizal Tahir sendiri yang setiap satunya menggambarkan mesej yang ingin disampaikan oleh beliau.

Dari hasil jualan poskad yang berharga RM5 itu, RM3 disumbangkan kepada #iAMFAITHMEN. Selebihnya digunakan bagi menampung kos pentadbiran termasuklah penghantaran poskad oleh pengirim (pembeli) kepada penerima bukan sahaja ke dalam negara malah ke seluruh Asia, Australia, Dubai, United Kingdom, New Zealand, Taiwan dan Cina.

“Semoga ianya sedikit sebanyak membantu meringankan usaha #iAMFAITHMEN dalam membela nasib warga emas di seluruh Malaysia. Dan hari ini, kami sepakat memilih Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, sebagai salah sebuah institusi yang bakal dibela oleh dana kebajikan #iAMFAITHMEN itu nanti”, ujar beliau lagi.

Majlis berlangsung secara sederhana di Pusat Jagaan Warga Emas (Muslimah) Sri Mesra yang terletak di No. 16, Jalan Watan 1, Taman Sri Watan, Ampang. Dihadiri oleh pengasas dan pentadbir rumah itu sendiri, Puan Faezah Ali, seramai lebih kurang 15 warga emas diraikan dalam majlis tersebut. Majlis diceriakan lagi dengan kehadiran pengasas #iAMFAITHMEN, Faizal Tahir yang tidak ketinggalan memasak juadah Raya, sambil beramah mesra bersama warga emas rumah terbabit.

Bertindak sebagai penaja utama dalam menyediakan hidangan, majlis turut diwakili oleh Tuan Sheikh Ahmad Shukor, Pengarah Urusan Awang Brand, sebuah syarikat atau pengeluar pes masakan tradisional.

MENGENAI FAITHMEN

FAITHMEN merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu sosial di samping menyebarkan segala aspek yang membawa kepada gaya hidup positif. Pergerakan #iAMFAITHMEN bertujuan untuk mengubah kehidupan kepada yang lebih baik melalui peluang, pendidikan, perkongsian dan inspirasi.

#iAMFAITHMEN bercita-cita untuk menanamkan kepercayaan dalam setiap diri individu bahawa ‘kita’ mampu dan mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan. Positiviti merupakan sesuatu yang mudah berjangkit. Matlamat utama #iAMFAITHMEN adalah untuk menyebarkannya.

MENGENAI AWANG BRAND

Pes ramuan kisar keluaran jenama Awang dihasilkan secara asli daripada bahanbahan segar yang diproses tanpa sebarang bahan perasa dan pengawet. Ia didatangkan dengan pes ramuan asas lebih dari 15 jenis masakan Melayu. Antara yang paling di minati adalah sambal tumis, asam pedas, lemak cili padi dan rendang. Dengan pes ramuan asas Awang Brand, setiap keluarga dapat menikmati hidangan lauk yang menyelerakan dengan cepat dan kos yang sangat menjimatkan. Kini, boleh didapati di pasar raya besar seperti Giant, Tesco, Mydin, Lulu, Aeon Big, Jaya Grocer, Village Grocer dan banyak lagi. Pes ramuan asas ini juga boleh didapati dalam pek katering yang sangat bersesuian untuk sektor restoran dan pengilangan makanan. Pek retail dijual pada harga yang amat berbaloi sekitar RM 4.80 ke RM 5.50.