Home / Events / PELANCARAN ALBUM LAWA NIE GENG

PELANCARAN ALBUM LAWA NIE GENG

lawaniegeng_webbanner

LAWA NIE GENG (LNG) ialah kumpulan rap duo yang ditubuhkan awal tahun 2014. Lawa Nie Geng (LNG) dianggotai 2 orang ahli iaitu Muariffah (Abon) dan Alabbas (Muyu), yang pada awalnya memulakan karier masing-masing sebagai rapper. Mereka menjalankan projek solo secara kecil-kecilan dengan membuat muzik atau ‘beats’. Merasakan gabungan baik antara keduanya, mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan kumpulan Lawa Nie Geng (LNG).

Alabbas & Muariffah masing-masing dilahirkan pada tahun 1993. Alabbas dilahirkan dan dibesarkan di Kajang, Selangor manakala Muariffah dilahirkan di Kelantan dan membesar di Pulau Pinang. Penglibatan LNG di dalam industri bermula pada awal tahun 2014 apabila mereka mengeluarkan mixtape album yang diberikan secara percuma di Facebook. Dalam diam, bakat mereka diintai DJ Fuzz yang ketika itu sedang dalam proses pembikinan album. Pertengahan Jun 2014, DJ Fuzz memanggil LNG untuk bekerjasama. Hasilnya, album DJ Fuzz turut memuatkan sebuah lagu LNG yang berjudul ‘Ini Lawa’.

Merasakan LNG mempunyai bakat dan kebolehan yang besar, DJ Fuzz percaya bahawa LNG tidak sepatutnya terus bermain untuk muzik “underground”. Justeru itu, single pertama ‘Pasar Malam’ yang mendapat tempat di carta radio-radio tempatan sekaligus menaikkan nama LNG di dalam industri muzik tanah air kita, telah dirakamkan dan diedarkan oleh Suria Records. Menerusi lagu “Pasar Malam”, LNG cuba menceritakan situasi atau realiti Pasar Malam yang amat sinonim dengan masyarakat Malaysia khususnya.

Kebangkitan LNG tidak berakhir di situ. Setelah popular dengan lagu “Pasar Malam”, LNG muncul bersama Deasy Natalina, seorang artis baharu dari Indonesia dengan lagu “Aduh Aduh Sayang”. Lagu tersebut telah mendapat tempat bukan sahaja di corong radio tempatan malah radio Indonesia. LNG kini dalam rangkaian promosi untuk lagu kedua mereka bersama Deasy Natalina yang berjudul “Masalah Mu”. Manakala single “Pasar Malam” dan “Aduh-Aduh Sayang” sudah pun boleh dinyanyikan dalam versi karaoke di semua rangkaian Red Box dan Green Box Karaoke.

LNG kini tampil dengan album pertama mereka berjudul ‘LAWA’, yang memuatkan 16 lagu hasil ciptaan mereka sendiri seperti, “Kita Punya”, “Siapa Aku” dan “Tidak Adil”. Selain Deasy Natalina, LNG turut berduet dengan beberapa artis tanahair seperti Raja Ema di dalam lagu “Aku Keliru” yang menjadi OST untuk sebuah drama tempatan, “Hilangmu Berganti” bersama Vince dan juga artis-artis dari Mixology Music sendiri untuk lagu “Restu” yang menampilkan Eyza Bahra, Daney dan juga Viral.

Pelancaran album LNG telah diadakan pada 10 Mac 2016, Khamis di Red Box Karaoke, The Gardens, KL.

Lawa Nie Geng – Pasar Malam(Official Video – HD)