Home / Events / Pelancaran Single, Video Muzik & Video Karaoke Rasmi Kay Khydir “Bukan Bahagiaku”

Pelancaran Single, Video Muzik & Video Karaoke Rasmi Kay Khydir “Bukan Bahagiaku”

1000x400

Kuala Lumpur, 11 Mac 2019: Penantian empat tahun, berbalas dengan kelegaan apabila single Kay Khydir berjudul Bukan Bahagiaku, akhirnya dilancarkan pada hari ini. Berlokasikan Red Box Karaoke, The Gardens Mall selaku penaja utama majlis, Bukan Bahagiaku adalah sebuah karya nukilan komposer tidak asing lagi, Azlan Abu Hassan, manakala lirik ditulis oleh bekas wartawan hiburan terkenal, Abie Abdullah.

Menyingkap perjalanan seni pemuda berusia 30 tahun ini, bakatnya dicungkil menerusi program realiti yang cukup fenomena iaitu Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) yang diterbitkan pada 2011. Sebelum itu Kay atau nama sebenarnya, Khaidir Muhd, terlebih dulu menimba pengalaman sebagai penyanyi band di restoran dan kelab sekitar ibu kota.

Sebaik program AF9 tamat, Kay pernah mempertaruhkan dua single duet, masingmasing bersama abangnya, Diddy Hirdy, dan bintang sensasi, Ayda Jebat. Berbeza dengan Bukan Bahagiaku ia merupakan single solo pertama Kay. Malah lagu ini dikatakan sangat berkait rapat dengan kisah peribadinya yang pernah kehilangan seseorang yang amat dikasihinya.

“Bukan Bahagiaku dirakamkan pada 2014, namun ketika itu saya berasakan belum masanya untuk ia dipromosikan. Kebetulan banyak tawaran lakonan yang saya terima pada masa itu menyebabkan proses pengenalan lagu ini tergendala. “Maklumlah bila terikat dengan penggambaran, memang tiada masa langsung untuk melakukan perkara lain. Sehari suntuk hanya di lokasi.

“Namun rasa cinta terhadap nyanyian, sediktipun tidak pernah padam,” katanya. Kesukaran untuk mempromosikan lagu ini juga disebabkan ketiadaan pihak pengurusan. Pernah dirinya berasa ingin menyerah kalah untuk meneruskan perjuangan, namun lamaran Shiha Zikir untuk menjadi artis naungan dibawah syarikatnya, SZ Entertainment, mengembalikan semangat dan kepecayaannya.

“Saya sebenarnya sudah mengenali Shiha sejak sedekad lalu. Selain menjadi penyanyi di restoran, saya dan Shiha juga pernah menyertai pertandingan realiti. Dari situ, kami menjadi sahabat baik dan perhubungan itu kekal sehingga ke hari ini. “Saya selesa berkongsi hal peribadi dan masalah dalam kerjaya dengannya. Seperti saya, Shiha sendiri berdepan laluan bukan mudah dalam dunia seni sebelum berada pada tahap sekarang.

“Jadi, secara tidak langsung dia tahu apa yang saya lalui. Malah melihat kejayaan Shiha hari ini, membuatkan saya percaya kita hanya perlu berusaha keras, InsyaAllah, suatu hari pastu ada sinarnya! “Bagaimana saya dilamar sebagai artis rakaman SZ Entertainment?, penghujung tahun lalu, Shiha meminta untuk mendengar lagu Bukan Bahagiaku dan dia memberikan maklum balas yang cukup positif.

“Tidak lama kemudian, Shiha bertanya kepada saya, adakah saya berminat untuk menjadi artis dibawah pengurusan syarikat rakamannya. Rasa hormat dan saling percaya yang wujud sejak sekian lama, membuatkan saya tidak berfikir panjang untuk mempersetujui tawaran itu,” katanya. Sementara itu, Shiha Zikir selaku Pengarah Urusan SZ Entertainment berkata, Kay adalah artis pertama yang bernaung di bawah syarikat pengurusan dan rakamannya.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Kay, kami sudah lama bersahabat. Saya tahu dia memang berbakat sebagai penyanyi dan pemuzik. “Lagipun sudah separa perjalanan seni dilaluinya semenjak menyertai AF9 dulu. Pernah ada dua single selain berlakon, jadi saya tidak lihat kenapa Kay perlu mengalah.

“Apatah lagi Bukan Bahagiaku adalah sebuah karya yang baik. Lagu ini cukup menyentuh perasaan saya, pada kali pertama mendengarnya” katanya. Mengekalkan gubahan muzik dan melodi asal lagu ini, Kay yakin Bukan Bahagiaku sebuah karya relevan dan menepati kehendak pendengar masa kini.

“Saya ada bertanya kepada abang azlan, adakah perlu kita melakukan pengubahsuaian muzik dengan memberikan suntikan baru kepada lagu ini? “Jelas beliau, setiap lagu yang dihasilkannya mementingkan melodi yang ‘evergreen’, relevan untuk setiap zaman. “Sebagai salah seorang yang meminati karya beliau, saya yakin dengan apa yang diperkatakannya,” katanya.

Dengan temeterainya majlis pelancaran ini, secara rasminya juga muzik video Bukan Bahagiaku telah dilancarkan dengan kerjasama Red Box Karaoke, The Gardens Mall.  Sekaligus, muzik video lagu berkenaan boleh didapati di semua rangkaian Red Box, Green Box dan Red Box Plus. Menghangatkan lagi pelancaran single Bukan Bahagiaku edaran oleh LMA House Talent ini, sebuah pertandingan karaoke dinamakan Fun Evening With The Media diadakan.

Di mana setiap peserta terdiri daripada rakan wartawan yang bertanding, wajib menyanyikan lagu Bukan Bahagiaku dengan penuh penghayatan dan gaya tersendiri. Juara akan membawa pulang wang tunai RM500, tempat kedua RM400, tempat ketiga RM300 dan Persembahan Terbaik RM200 manakala 4 orang akan menerima saguhati yang bernilai RM150, seorang. Selain itu, pihak penganjur SZ Entertainment menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah yang cukup menarik untuk dimenangi seperti handphone dan banyak lagi.

 Kay Khydir – Bukan Bahagiaku

FB Page: Kay Khydir
Instagram: Kay Khydir