Home / Events / Sidang Media & Pelancaran Single, Video Muzik dan Video Karaoke Rasmi Naim Daniel “Sumpah”

Sidang Media & Pelancaran Single, Video Muzik dan Video Karaoke Rasmi Naim Daniel “Sumpah”

1000X400-01

2hb Mei, 2019 – Selepas kejayaan dua lagu bergenre pop, Sekali Lagi dan Sempurna, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel meneruskan rentak di dalam industri seni suara dengan penghasilan sebuah lagi lagu yang diberi tajuk ‘Sumpah’.

Mempertaruhkan genre balada pada kali ini, ‘Sumpah’ mempunyai cerita yang tersendiri selain diangkat menjadi OST untuk drama bersiri ‘Pia’ yang akan ditayangkan bermula 3hb Mei 2019, setiap hari Rabu hingga Jumaat, jam 9 malam di TV3.

Lagu ‘Sumpah’ ini, sebenarnya berkisarkan tentang kisah benar dan sebahagiannya telah dihasilkan pada tahun 2015. Hanya pada tahun ini, Naim Daniel bersama-sama komposer, Omar K mengambil peluang untuk menyempurnakan lagu ini.

Kurang daripada 12 jam selepas dilancarkan pada 19hb April yang lepas, lagu ini mendapat sambutan yang luar biasa apabila berjaya menduduki no. 1 di iTunes Pop Charts. Lagu ‘Sumpah’ juga berjaya menduduki no.1 trending di Youtube dengan 1 juta tontonan dalam tempoh 5 hari.

‘Sumpah’ mendapat pujian dan respon yang sangat baik daripada pendengar dan juga peminat. Hampir kesemuanya memberi komen positif mengenai mesej dalam lagu ini yang berjaya menyentuh hati mereka.

Menurut Naim, ‘Sumpah’ merupakan lagu yang menzahirkan kesetiaan dan keikhlasan kepada seseorang yang kita sayang dalam apa keadaan sekali pun, terutama sekali apabila terpaksa menghadapi dugaan yang berat.

Selain daripada itu, dalam mempromosikan lagu ‘Sumpah’ ini, Naim Daniel telah bekerjasama dengan The National Autism Society of Malaysia (NASOM) untuk kempen kesedaran Autism yang diadakan pada 5hb April yang lalu di Bukit Bintang.

Bertempat di Red Box Karaoke, The Gardens Mall, World Peace Entertainment mengambil peluang untuk melancarkan video karaoke rasmi bagi meneruskan rentak lagu ‘Sumpah’ ini supaya terus terpahat di hati pendengar dan peminat. Video karaoke rasmi ini juga boleh didapati di semua cawangan Red Box, Green Box dan Red Box PLUS Karaoke.

Impak daripada lagu ‘Sumpah’ ini juga telah menarik perhatian salah satu syarikat percetakan, PKFC Printing mencetak t-shirt rasmi untuk sidang media dan majlis pelancaran yang diadakan.

Naim berharap, dengan terhasilnya lagu terbaru bertajuk ‘Sumpah’ ini, ianya sedikit sebanyak dapat mendekatkan lagi Naim kepada lebih ramai pendengar muzik di Malaysia yang majoritinya penggemar lagu balada.

Harapan Naim juga agar lagu ini mampu pergi jauh dan peminat terus menyokong karya seninya.

 

Maklumat Lanjut: World Peace Entertainment
Naim Daniel FB: Naim Daniel
Naim Daniel IG: Naim Daniel